(Mutakhir) PETALING JAYA: Tinggal seminggu sahaja untuk membuktikan sama ada sasaran 16 September akan menjadi kenyataan ataupun sebaliknya, Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan informal malam tadi bagi membincangkan kemajuan siri perundingan yang telah diadakan setakat ini.
mStar Online difahamkan pertemuan itu yang dipengerusikan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar), yang pulang dari Jakarta petang tadi, hanya memfokus terhadap pelan pembentukan kerajaan persekutuan 16 September dengan membawa masuk ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).
"Perbincangan pertemuan informal ini hanya memfokus satu topik iaitu menerangkan hasil perbincangan dan perundingan yang telah diadakan sejak dua minggu yang lalu. Kita telah berkongsi hasil perundingan dengan ahli-ahli Parlimen BN setakat ini.
"Perbincangan adalah positif dan semua perancangan berjalan dengan lancar sebagaimana yang telah dirancang," kata sumber itu kepada mStar Online sebentar tadi.
Pertemuan itu yang berlangsung lebih dua jam di kediaman Anwar di Bukit Segambt berakhir kira-kira 12.30 tengah malam tadi.
Kesemua pemimpin kanan komponen Pakatan Rakyat hadir kecuali Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Sumber itu juga menambah, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat khas susulan di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kuala Lumpur pagi ini (Isnin)..
Pakatan Rakyat terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.
Terdahulu di KUALA TERENGGANU: DAP menegaskan ia tidak akan menerima kemasukan mana-mana Ahli Parlimen BN ke dalam pakatan pembangkang sekiranya kemasukan mereka itu adalah semata-mata disebabkan faktor wang dan kuasa.Penasihatnya, Lim Kit Siang berkata, parti itu hanya akan menerima kemasukan wakil-wakil rakyat BN ke dalam Pakatan Rakyat sekiranya mereka berbuat demikian atas prinsip mahu membawa perubahan demi membela nasib rakyat, dan bukannya atas dasar perjuangan 'periuk nasi politik' mereka.Katanya, jika wakil rakyat BN keluar daripada parti yang selama ini memerintah semata-mata disebabkan mahu mendapatkan keuntungan kebendaan, ia merupakan satu tindakan yang tidak beretika."Sama ada pembentukan kerajaan baru berlaku atau tidak dalam masa sembilan hari lagi, ia bergantung kepada banyak perkara, perlu tunggu dan lihat.
"Tetapi jika mereka (wakil rakyat BN) mahu keluar parti untuk mendapat keuntungan kebendaan, ia tidak beretika dan bukan prinsip yang baik. Kami tidak akan menerimanya," kata beliau dipetik Bernama.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan penubuhan DAP cawangan Sungai Tong, Setiu dan Kampung Cina, Kuala Terengganu di sini hari ini dengan keahlian seramai 60 orang ahli.Parti itu pernah membuka cawangannya di Kelantan pada tahun 1990, namun berkubur pada tahun 2002 ekoran kurang penerimaan daripada masyarakat setempat.
Di JAKARTA, Anwar yang Ketua Pembangkang di Parlimen, yang semalam membawa impiannya untuk menubuhkan kerajaan baru di Malaysia pada 16 September kepada media massa di Indonesia, masih gagal menyatakan siapa atau beberapa orang anggota Parlimen Barisan Nasional akan menyeberang ke pihaknya.
"Saya hanya akan menamakan mereka pada masa yang sesuai. Ini adalah persefahaman...perjanjian dengan teman-teman (para anggota parlimen itu)," katanya.
Walaupun ketika berkali-kali ditanya oleh media massa tempatan dan asing yang meliputi pertemuannya dengan Ikatan Cendikawan Muslim Indonesia (ICMI) di sini hari ini, beliau enggan menyatakan siapa atau berapa bilangan anggota Parlimen BN yang sudah mengesahkan menyeberang ke pihaknya.
Anwar menjelaskan bahawa harapan beliau berjumpa dengan ICMI adalah kerana menganggap pertubuhan Islam di Indonesia penting baginya, seperti juga di Malaysia.
Anwar, yang tetap yakin bahawa impiannya akan menjadi kenyataan pada 16 September, mendakwa beliau tidak menghadapi sebarang masalah lagi untuk mencapai tujuan itu.
Sambil menegaskan bahawa media massa di Malaysia tidak bebas dan hanya melaporkan berita dari sudut pandangan kerajaan Barisan Nasional, Anwar berkata beliau dapat memberikan kepastian kepada media massa Indonesia dan asing bahawa 'penghijrahan wakil-wakil rakyat BN' akan terjadi 16 September ini walaupun di Malaysia dilapor tidak akan berlaku.
Mengulas lawatan yang dirancang untuk anggota-anggota Parlimen BN ke luar negera sehingga 16 September, beliau berkata, "Saya akan tangani hal ini bila pulang ke Kuala Lumpur petang ini".
Beliau masih mendakwa mendapat maklumbalas positif daripada anggota-anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak malahan juga dari Semenanjung Malaysia.
Nadi REFORMIS
AMK Gelang Patah
No comments:
Post a Comment