Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Gelang Patah menyangkal dakwaan Ketua Pemuda Umno Bahagian Gelang Patah, Sdr. Noorhisham Ismail seperti yang tersiar didalam akhbar Sinar Harian bertarikh 22hb Ogos 2010, bahawa kenyataan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (Keadilan), Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Kerajaan Pusat beliau mensasarkan bahawa setiap isi rumah mampu menikmati pendapatan RM4000 sebulan, adalah sebagai retorik.
Sewajarnya kenyataan Yang Berhormat Datuk Seri Anwar dilihat dari sudut positif oleh kerajaan Umno-BN mempertingkatkan usaha dan menjadikannya tanggungjawab utama Umno-BN sebagai kerajaan pemerintah untuk menaiktarafkan kehidupan rakyat. Setelah lebih 50 tahun Umno-BN menjadi kerajaan pemerintah di Malaysia namun masih ada rakyat hidup dibawah paras kemiskinan tegar sedangkan Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan hasil buminya. Apakah hasil tersebut digunakan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan negara? Rakyat Malaysia umumnya telah mengetahui bahawa pelbagai penyelewengan atau korupsi telah berlaku melibatkan beberapa pemimpin kerajaan Umno-BN yang melibatkan ribuan jutaan ringgit wang rakyat dibazirkan.
Isu kenaikan harga minyak baru-baru ini juga memperlihatkan, bila mana keadaan ekonomi negara berada dalam keadaan tidak baik, maka rakyat pula terpaksa memikul beban apabila kerajaan mengambil langkah menaikan harga minyak petrol/disel dan lima barangan lain. Apakah ini dinamakan pembelaan kerajaan pemerintah kepada rakyat dan apakah ini maksud slogan 1Malaysia yang sering dilaung-laungkan “ Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan”???
Berkaitan dengan kenyataan Sdr. Noorisham tentang isu janji-janji pilihanraya oleh Pakatan Rakyat yang yang menurutnya masih belum ditunaikan termasuk pengagihan RM1000 kepada warga emas di negeri Selangor, AMK Cabang Gelang Patah ingin memaklumkan kepada Sdr.Noorisham supaya jangan membuat kenyataan yang kurang bijak kerana wang RM1000 seperti yang dijanjikan telah pun diagih-agihkan sebahagiannya tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Sewajarnya sebagai pimpinan muda Umno, beliau wajar menegur kepimpinan Umno-BN yang masih belum mampu menunaikan janji-janji mereka walaupun telah melalui beberapa pilihanraya.
Di Parlimen Gelang Patah sendiri, Isu Tuntutan bekas Peneroka Felcra Tebing Runtuh masih tidak mampu diselesai oleh Umno-BN walaupun isu ini sudah berbangkit berbelas tahun lamanya. Begitu juga isu bekas pemilik tanah seramai lebih dari 1000 orang yang terlibat projek lebuhraya 2nd Link yang pada mulanya ditawarkan rumah percuma namun janji tinggal janji walaupun perkara tersebut telah dipersetujui oleh pemaju dan Menteri Besar Johor sendiri. Kedua-dua isu ini cukup lama dibangkitkan namun Umno-BN dilihat tidak mampu menyelesaikannya.
Justeru, AMK Cabang Gelang Patah memberi pandangan bahawa pemimpin-pemimpin Umno-BN ini perlu bermuhasabah dari terus mempersoalkan kepimpinan Pakatan Rakyat. Keadilan Cabang Gelang Patah termasuk PAS dan DAP bersedia mengambil alih kerusi DUN Nusajaya dan kerusi Parlimen Gelang Patah disamping mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Skudai pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti kerana melihat Umno-BN seolah-olah tidak mampu menyelesaikan masalah rakyat yang telah berlarutan belasan tahun.
“HARAPAN BARU RAKYAT JOHOR”
Setiausaha
Angkatan Muda Keadilan
Cabang Gelang Patah
No comments:
Post a Comment