Peruntukan RM1 trilion dikatakan bakal disumbang Kerajaan Pusat kepada
negeri Johor selepas Pilihan Raya Umum Ke-13. Menurut sumber kerajaan
negeri, ia akan digunakan untuk membiayai Koridor Selatan; pembangunannya
nanti dikatakan lebih hebat dan lebih canggih daripada apa yang terdapat
di Putrajaya.
Antara lain projek yang akan dibangunkan adalah pembinaan monorel, LRT,
landasan kapal terbang ringan, rangkaian lebuh raya mudah akses, tasik dan
masjid, serta kompleks mahkamah, stadium, terminal bersepadu utara serta
mini Disneyland.
Dalam kunjungan ke Johor baru-baru ini, Perdana Menteri Najib Razak
mengumumkan suntikan dana RM200 juta kepada Iskandar Malaysia. Ia mungkin
pendahuluan kepada peruntukan RM1 trilion yang dijanjikan beliau kepada
Johor selepas PRU13 dengan syarat BN menang di negeri ini.
Soalnya, jika benar maklumat ini, kenapa Najib sanggup menjanjikan
peruntukan yang begitu besar kepada Johor. Apakah Johor negeri miskin
seumpama Kelantan seperti didakwa Najib baru-baru ini, menyebabkan Kerajaan
Pusat bersedia menyalurkan peruntukan terlalu besar itu?
Semua maklum negara kita memang kaya, melalui hasil mahsulnya dan tidak
terkecuali mungkin juga sumber-sumber lain di luar pengetahuan rakyat,
seperti "pemberian" Pulau Batu Putih dan beratus-ratus hektar tanah
Keretapi Tanah Melayu (KTM) kepada Singapura serta penyerahan Blok 4 telaga
minyak di Sarawak kepada Brunei? Ya, siapa tahu, 'kan?
Logiknya, mana mungkin kerajaan Umno-BN berani menjanjikan peruntukan RM1
trilion ini (hanya untuk satu negeri) jika tidak mempunyai sumber tambahan
lain yang diyakini mampu "mengembungkan" kantung mereka?
Apakah Najib merasakan kedudukan BN begitu tergugat sehingga memaksa
beliau menjanjikan peruntukan luar biasa banyaknya dengan harapan pemimpin
Umno akan bekerja lebih keras bagi mempertahankan Johor tidak dirampas
Pakatan Rakyat.
Mungkin juga Najib sudah menghidu bunga-bunga kekalahan BN di kubu terkuat
mereka yang menyumbang 26 kerusi Parlimen, lantas bagi memastikan igauan
ngeri tidak menjadi kenyataan, maka beliau terpaksa berjanji bagi mendorong
semua warga Umno-BN bekerja keras mempertahankan negeri kelahiran Umno ini.
Bukanlah sesuatu yang sukar dibaca agenda tersembunyi di sebalik peruntukan
RM1 trilion ini. Sudah pasti banyak pihak, termasuk pemimpin Umno Johor,
yang akan mendapat laba lumayan daripadanya.
Oleh kerana wang yang akan "dijahanamkan" untuk kepentingan politik Umno-BN
ini adalah wang awam maka rakyat mesti bertanggungjawab menghalang
kerakusan golongan tidak berhati perut ini.
Seluruh rakyat Johor khususnya orang Melayu mesti bertekad dan berazam
menumbangkan BN pada PRU13 ini. RM1 trilion ini tidak mungkin diberi
seandainya Johor dikuasai Pakatan nanti.
Bagaimanapun jika BN masih berkuasa, bukan rakyat yang akan mendapat
manfaatnya tetapi jerung serta lanun-lanun besar yang akan kenyang
membahamnya dan kehidupan rakyat menjadi lebih teruk apabila dipaksa
"membayar balik" pelaburan yang dibelanjakan Umno-BN untuk menipu rakyat
bagi mengekalkan kuasa.
Mahu tidak mahu, Pakatan mesti berusaha menawan Nusajaya dan Putrajaya
pada PRU13. Umno-BN mesti ditumbangkan jika kita berhasrat hasil kekayaan
negara diagih secara adil dan saksama kepada seluruh rakyat tanpa mengira
bangsa, agama dan fahaman politik.
Tiada ertinya Umno-BN dinyahkan setakat di Johor sahaja sedangkan di
peringkat Pusat masih berkuasa. Hanya dengan menguasai Putrajaya barulah
akan berlaku perubahan besar-besaran ke atas landskap politik negara ini.
Dan rakyat pula sudah tentu mendapat manfaat sangat besar, yang selama ini
dinafikan kerajaan Umno-BN sepanjang lebih 50 tahun berkuasa.
Kuasa ada di tangan rakyat. Dan rakyat yang akan mencorakkan masa depan
negara ini. Maka apa ditunggu lagi, ayuh bersama kita menumbangkan regim
zalim Umno-BN pada PRU13. Jangan ragu-ragu lagi ... lakukanlah!
No comments:
Post a Comment