DEMI RAKYAT

JANJI 100 HARI PAKATAN RAKYAT

JANJI 100 HARI PAKATAN RAKYAT

KADAR TARIF AIR DI MALAYSIA

KADAR TARIF AIR DI MALAYSIA
Tarif air di Johor adalah yang tertinggi........

07 March 2012

MB SELANGOR AKAN BENTANG DOKUMEN TENDER TERBUKA

Pembentangan itu akan membuktikan ketelusan kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, Abdul Khalid Ibrahim.
SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan membentangkan segala dokumen berkaitan tender dan sebutharga kontrak dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dijadualkan bermula pada 19 Mac ini.
Katanya pembentangan itu akan membuktikan ketelusan kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat membabitkan pemberian kontrak sekaligus mengenepikan pelbagai dakwaan dilemparkan penulis blog Raja Petra Kamaruddin.
“Saya tidak mahu selalu menjawab tulisan Raja Petra kerana banyak yang ditulis itu adalah salah,” kata beliau ketika mempertahankan integriti dan keberkesanan fungsi Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban, dan Ketelusan Selangor (Selcat) selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.

Menurut Abdul Khalid, apa yang dilakukan oleh Raja Petra hanya menimbulkan keseronokan kepada masyarakat.
Ujar beliau, “kita akan keluarkan dokumen kerana kerajaan negeri mengamalkan proses ketelusan dari segi pentadbiran. Segala kontrak, tender dan sebutharga sejak tahun 2006 hingga 2010 akan dibentangkan dalam sidang Dun supaya perbincangan dapat dilakukan.
“Raja Petra dapat semak data itu. Angka boleh jadi serupa, malah rundingan tidak telus ini telah dijalankan sejak 30 tahun lalu. Ini bukan perkara luar biasa.
Akta Rahsia Rasmi
“Kita tidak akan bentangkannya di sini (mesyuarat exco) memandangkan kita ada Akta Rahsia Rasmi. Raja Petra tiada undang-undang.
“Saya ada undang-undang. Maka perlu ikut tatacara yang betul. Contoh buat dakwaan tentang pasir tapi orang yang membuat dakwaan tidak hadir ke Selcat,” katanya dalam nada sinis.
Laporan akhbar hari ini memetik pendedahan Raja Petra bahawa kerajaan negeri Selangor memberi projek secara rundingan terus dan (bukan tender terbuka) bernilai lebih RM250 juta sejak Pakatan memerintah negeri itu.
Dalam laporan itu, Raja Petra berkata jika kerajaan negeri menafikan dakwaan berkenaan, beliau akan menyiarkan butiran kontrak seperti nombor dan tarikh kontrak serta nama syarikat terbabit dalam blognya atau melaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketika ditanya pemberita adakah tender itu berkait dengan bekas exconya, Datuk Dr Hasan Ali, beliau enggan membuat spekulasi berhubung hal tersebut.
“Tunggu sidang Dun nanti….buat masa ini tiada maklumat dan saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi,” katanya.

‘Noh menteri kangaroo’

Sementara itu, Abdul Khalid menempelak Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar kerana gagal melaksanakan tanggungjawabnya sebagai warganegara ekoran enggan hadir dalam Selcat.
“Dia (Noh Omar) menteri kangaroo. Kata nak selesai masalah, kata ada fakta dan mahu keluarkan fakta. Tapi beliau enggan hadir dalam Selcat dan mendedahkan fakta yang beliau dakwa sebelum ini,” ujar Abdul Khalid.
Ditanya mengenai pelantikan ahli majlis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang ditunda hari ini, Abdul Khalid berkata majlis angkat sumpah itu akan diadakan dalam masa terdekat oleh Datuk Bandar.
“Tiada cerita bahawa ada ahli yang tidak puas hati. Saya berharap Datuk Bandar berpuas hati dengan pelantikan itu dan acara angkat sumpah dijalankan dalam tempoh masa dua tiga hari ini,” katanya ketika ditanya tentang dakwaan tiga ahli PKR yang memprotes pelantikan ahli majlis MBPJ yang baru itu.

No comments: