Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyerahkan afidavit di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bagi mendakwa bekas seorang pembantunya atas kesalahan melakukan qazaf atau tuduhan palsu berhubung kes liwat yang dihadapinya.
Permohonan itu bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya mendakwa Mohd Saiful Bukhari Azlan bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 kerana membuat tuduhan palsu. Ia adalah susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom di Parlimen pada Oktober tahun lalu.
Qazaf itu kesalahan jenayah syarie yang tidak mempunyai persamaan dengan mana-mana kesalahan atau undang-undang bawah kanun jenayah yang digunakan di mahkamah sivil. Dato' Seri Anwar terkejut dengan kenyataan Jamil Khir yang menyebut kes qazaf itu hendaklah menunggu selesai perbicaraan kes liwat yang dihadapinya (Anwar) di mahkamah sivil.
Anwar menganggap bahawa kenyataan Menteri tersebut amat dangkal dan boleh di anggap sebagai campur tangan politik dalam perjalanan mahkamah syariah. Yang lebih berat lagi, kenyataan Menteri tersebut jelas menghina kedudukan dan kewibawaan mahkamah syariah yang seolah-olah mahkamah syariah harus tunduk dengan keputusan mahkamah sivil.
Anwar juga menjelaskan, kes qazaf yang difail olehnya berbeza daripada kes liwat terhadapnya di mahkamah sivil. Jamil Khir turut dinamakan sebagai responden dalam afidavit berkenaan, selain Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan dan pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Anwar juga berkata beberapa dokumen seperti laporan polis, sumpah laknat yang dibuat oleh Mohd Saiful dan laporan perubatan terhadap pemuda itu dikemukakan kepada Jawi.
Tokoh pembangkang itu turut menyenaraikan beberapa individu sebagai saksi yang berada bersamanya ketika kejadian liwat itu didakwa berlaku pada dua tahun lalu.
Permohonannya akan didengar pada 13 Januari di depan hakim syarie Mohd Shukor Shabudin, jelas peguamnya Kamar Ainiah Kamaruzaman yang hadir di sidang media tersebut.
No comments:
Post a Comment