DEMI RAKYAT

JANJI 100 HARI PAKATAN RAKYAT

JANJI 100 HARI PAKATAN RAKYAT

KADAR TARIF AIR DI MALAYSIA

KADAR TARIF AIR DI MALAYSIA
Tarif air di Johor adalah yang tertinggi........

25 June 2008

Eric Chia meninggal dunia di hotel miliknya


SUNGAI PETANI 24 Jun – Ahli perniagaan, Tan Sri Eric Chia Eng Hock yang pernah menggemparkan negara berhubung kes penyelewengan dana Perwaja Steel meninggal dunia di hotel miliknya di sini pagi ini.


Chia, 75, yang merupakan bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn. Bhd., meninggal dunia akibat sesak nafas di bilik penginapan khasnya di tingkat 10, Hotel Park Avenue, Taman Sejati Indah di sini kira-kira pukul 9 pagi ini.
Mendiang dilahirkan di Singapura pada tahun 1933.


Difahamkan, mendiang menetap di hotel berkenaan sejak beberapa tahun lalu manakala anak-anaknya tinggal di Petaling Jaya dan di luar negara.
Tinjauan Utusan Malaysia petang ini mendapati beberapa kakitangan hotel sibuk mendirikan khemah di kawasan letak kereta untuk dijadikan tempat mengadakan upacara penghormatan terakhir.


Isteri kedua Chia, Puan Sri Grace Chia, 60, dan anak sulungnya, Micheal Chia, 46, turut kelihatan di pekarangan hotel untuk menguruskan majlis berkenaan.
Bagaimanapun, mereka tidak memberikan sebarang kenyataan akhbar.
Seorang lagi anak perempuan mendiang yang berusia 34 tahun kini menetap di Hong Kong.
Dalam pada itu, seorang kakitangan hotel yang rapat dengan Chia, S. Muniandy, 42, berkata, setiap hari dia akan naik ke bilik Chia untuk melaporkan perkembangan operasi hotel kira- kira pukul 7.45 pagi.


Bagaimanapun, katanya, ketika dia sampai di bilik berkenaan pagi ini, Chia masih tidur.
“Pembantu bilik memberitahu Tan Sri tidur semula selepas makan kira-kira pukul 5 pagi.
“Namun, kira-kira pukul 8 pagi saya menerima panggilan daripada pembantu berkenaan memaklumkan Tan Sri sesak nafas,’’ katanya.


Muniandy yang bertugas di bahagian penyelenggaraan memberitahu, dia kemudian menghubungi doktor peribadi Chia bagi memaklumkan keadaan tersebut.
“Doktor yang memeriksanya kemudian memberitahu Tan Sri telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 9 pagi akibat serangan sakit jantung,’’ jelasnya.
Menurut Muniandy, upacara pengebumian mayat mendiang akan dilakukan di Tanah Perkuburan Kristian Sungai Petani pada Khamis ini.


Sementara itu, Penyelia Jabatan Pendaftaran Daerah Kuala Muda, Amran Kassim ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kematian Chia petang ini.
“Sebab-sebab kematian yang dilaporkan ialah sakit tua dan surat kematian telah dikeluarkan kira-kira pukul 4 petang kepada ahli keluarga mendiang,’’ ujarnya.


Pada 10 Februari 2004, Chia selaku Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn. Bhd. dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah terhadap dana syarikat tersebut membabitkan wang berjumlah RM76.4 juta.


Bagaimanapun, kes berprofil tinggi itu berakhir selepas tiga tahun perbicaraan berlangsung dengan Chia dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen tersebut setelah pasukan pendakwaan didapati gagal membuktikan kes.
Hakim Akhtar Tahir yang mengendalikan perbicaraan dalam keputusannya menyatakan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Chia.


Selain kes Perwaja Steel, Chia juga telah mengemukakan saman fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, kira-kira tujuh tahun lalu.
Dalam saman yang difailkan pada tahun 2001, Chia selaku plaintif mendakwa Guan Eng telah memfitnah beliau dalam laporan polis yang dibuat oleh ahli politik itu pada 11 April 1996.
Pada 24 April lalu, Hakim Abdul Wahab Patail menetapkan tarikh lanjutan kes berkenaan kepada 28 Ogos ini.

No comments: