DEMI RAKYAT

JANJI 100 HARI PAKATAN RAKYAT

JANJI 100 HARI PAKATAN RAKYAT

KADAR TARIF AIR DI MALAYSIA

KADAR TARIF AIR DI MALAYSIA
Tarif air di Johor adalah yang tertinggi........

21 August 2008

UiTM dan sumpah laknat Saiful

ADA sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai sehari dua ini. Bukan keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh. Tidak juga orang menunggu apakah Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersumpah angkat Quran. Dan, bukan juga menunggu siapa wakil-wakil rakyat BN yang akan menjadi ‘katak’ melompat parti. Orang ramai menunggu adakah, dan bilakah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan disaman oleh Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Samah? Sekiranya melihat semangat berkobar-kobar yang ditunjukkan Dr Ibrahim – kalah penceramah-penceramah politik yang berkempen di Permatang Pauh! – Khalid sepatutnya sudah menerima surat saman sekarang.

Bos di menara gading itu mahu orang No.1 dalam pentadbiran negeri Selangor memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya berhubung kuota 10 peratus diberikan kepada pelajar bukan Melayu untuk masuk ke universiti awam itu. Kata Sang Prof, jika MB tidak mahu memohon maaf, beliau akan mengheretnya ke mahkamah. Agaknya pemimpin PKR itu sendiri tidak menyangka bahawa kenyataan seperti itu boleh meletup menjadi isu besar, lebih hangat dari isu pembunuhan kejam model Mongolia yang bernama Altantuya.

Dr Ibrahim nampaknya berang sangat dan menegaskan lebih 20,000 warga UiTM di kampus utama Shah Alam juga kampus-kampus cawangan seluruh negara, berasa amat tersinggung. Maka tidaklah menghairankan apabila beberapa hari setelah kenyataan Khalid, 5,000 pelajar universiti itu mengadakan tunjuk perasaan di hadapan bangunan pejabat MB Selangor. Sehari dua lepas itu beribu-ribu lagi pelajar kampus cawangan seluruh negara – termasuk Sabah dan Sarawak – turut berarak sambil membawa sepanduk mengutuk Khalid. Syabas kepada pelajar-pelajar UiTM yang berani berarak dan menunjuk perasaan seolah-olah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sudah tidak wujud.

Dan untuk beberapa hari selanjutnya Khalid dihentam teruk melalui media oleh banyak pihak – semuanya mendakwa tidak ada kaitan politik. Semua bersemangat luar biasa untuk terus menutup pintu UiTM kepada bukan Melayu. Malah, ada yang mengecap bekas tokoh korporat itu tidak berhati Melayu. Pada hal apa yang dikatakan oleh Khalid sebenarnya bukan perkara baru. Seperti yang dijelaskan oleh pakar sejarah Prof Khoo Kay Kim, cadangan membuka UiTM kepada bukan Melayu telah disuarakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad lebih sepuluh tahun lalu. Tetapi tidak ada siapa pun melenting. Mungkin ketika itu cadangan ‘hebat’ itu datangnya dari UMNO, maka ia tidak ditentang.

Agaknya jika Khalid bukan orang PKR, cadangannya itu tidak dipedulikan juga! Sebenarnya, jika dibuka pun kepada bukan Melayu, UiTM bukan satu-satunya contoh hak Melayu telah dikorbankan. Apabila Maktab Latihan Sultan Idris (SITC) Tanjung Malim ditubuhkan British 1921, tujuannya adalah untuk melatih guru-guru dari kaum Melayu dan Bumiputera sahaja. Dari zaman Dussek, kemudian Zaaba dan zaman-zaman lepas merdeka SITC terus menjadi institusi Melayu. Kemudian maktab latihan perguruan itu berubah mengikut zaman dan bertukar status menjadi Institut Pendidikan Sultan Idris (IPSI), dan akhirnya menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pada tahun 1998 kerajaan mengumumkan universiti baru itu dibuka juga kepada orang bukan Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditubuhkan pada 1970 juga mulanya untuk memberi keutamaan kepada orang Melayu. Tetapi pertengahan 1980-an pemimpin Melayu mengalah kepada desakan parti-parti bukan Melayu supaya universiti itu membuka pintu kepada pelajar bukan Melayu, mula-mula hanya lima peratus. Kini pelajar bukan Melayu di UKM melebihi kuota lima peratus. Julai 2008 JPA mengumumkan pemberian biasiswa hingga kuota 45 peratus kepada pelajar bukan Melayu.

Sebelumnya 60 peratus kuota diberikan kepada pelajar Melayu/Bumiputera. Ada bangkangan di Parlimen, tetapi kuota kepada pelajar bukan Melayu itu diteruskan. Jadi apa luar biasanya cadangan membuka kuota 10 peratus UiTM kepada bukan Melayu? Satu cadangan yang telah dikemukakan oleh pemimpin UMNO lebih sepupuh tahun lalu dan hanya menjadi isu sekarang apabila diulang semula oleh pemimpin PKR. Sehingga petang semalam, Khalid tidak mahu memohon maaf atas kenyataannya. Tentulah ramai yang menunggu MB Selangor itu disaman oleh Prof UiTM. Sekiranya MB tidak memohon maaf, dan tidak pula ada saman, perlukah orang Melayu meminta kedua orang ini bersumpah angkat Quran seperti yang dilakukan oleh Saiful?

Nadi REFORMIS
AMK Gelang Patah

No comments: