Usul syarat wajib mengambil bekerja mereka yang menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat sebagai pemimpin, ketua jabatan dan kakitangan awam kerajaan negeri mendapat reaksi positif dari beberapa tokoh agama, penceramah agama dan ahli politik.
Asri ketika dihubungi berkata, secara umum, beliau bersetuju dengan peraturan yang diusul oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
"Itu adalah salah satu usaha untuk kenal pasti seseorang pekerja itu jujur dan amanah," jelasnya yang masih berehat di rumahnya di Perlis setelah keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) semalam.
Namun, kata Asri: "Tidak semestinya orang yang tidak pergi sembahyang Jumaat itu tidak percaya pada agama. Sama juga dengan mereka yang tidak ada rekod jenayah atau rasuah, mereka tidak melakukan jenayah atau rasuah."
"Syarat yang diletakkan oleh Nik Aziz itu elok untuk mengenal pasti orang yang percaya pada agama dan tidak membuat perkara-perkara mungkar yang lain seperti rasuah, pecah amanah atau mencuri.
"Sembahyang Jumaat merupakan satu cara motivasi seperti yang terdapat dalam khutbah Jumaat. Lagipun sembahyang Jumaat tidak menjejaskan hubungan kaum atau sensitiviti agama," katanya lagi.
Katanya lagi, kita sendiri ada peraturan pelik tetapi kita tetap teruskan juga walaupun nampak macam satu pembaziran seperti menghidupkan api di waktu siang untuk mengurangkan kemalangan.
"Cadangan Nik Aziz itu hampir sama. Kemungkinan besar, orang yang tidak sembahyang Jumaat ini tidak akan patuh dengan perkara-perkara lain juga," jelasnya.
Semalam, Nik Abdul Aziz berkata, beliau bercadang akan membawa usul ini dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut Nik Aziz, syarat ini bagi memastikan mereka yang dipilih adalah mereka yang menjaga akhlak dan menjauhi daripada elemen rasuah dan tidak bermoral," kata Mursyidul Pas itu ketika ditemubual.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim pula berkata beliau tidak bersetuju dengan pendekatan tersebut.
"Untuk mendekatkan diri kepada Allah, perlu dibuat secara berhikmah, berperingkat dan
mendidik. Bukan dengan cara paksaan," jelas Mashitah yang menganggap pendekatan yang diusulkan Nik Aziz sebagai paksaan.
Kata beliau lagi, "Biarlah orang yang hendak melakukan solat itu datang dari keinsafan dan niat diri sendiri. Bukannya bersolat disebabkan terpaksa mematuhi syarat wajib tersebut."
Mashitah juga berpendapat seorang individu yang melakukan ibadat tersebut menyerapkan rasa cinta kerana Allah yang melihat dan bukan kerana manusia.
"Ada tiga peringkat orang bersembahyang. Peringkat pertama umpama pedagang di mana orang yang melakukan ibadat semata-mata hendak masuk syurga. Dan yang kedua kerana Allah dan yang ketiga kerana hendak menunjuk," katanya.
Jelasnya, "seharusnya kita mengerjakan sembahyang kerana Allah semata-mata dan bukan kerana sebab lain. Jadi kita fahami dan hayati sesuatu perkara itu sebelum melakukannya. Ia harus datang dari diri kita sendiri."
Sementara itu, Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata cadangan oleh Nik Aziz itu sesuatu yang amat baik namun mempersoalkan kaedah pemantauannya, sama ada ia melibatkan sistem seperti kad perakam waktu atau 'punch card'.
Beliau meminta kerajaan Kelantan menjelaskan mekanisme bagi melaksanakan cadangan tersebut untuk memastikan kakitangan awam yang akan diambil bekerja atau dinaikkan pangkat tidak meninggalkan solat lima waktu.
"Saya menyokong dan bersetuju lebih dari 100 peratus cadangan itu kerana ia satu niat yang baik, sesuai dengan kehendak Islam sendiri yang mewajibkan solat kerana ia tiang agama.
"Namun apa yang timbul sekarang bagaimana dapat dipastikan mereka ini benarbenar tidak meninggalkan solat. Adakah perlu diwujudkan sistem perakam," katanya.
Md Alwi turut mempersoalkan bagaimana dengan rakyat yang bukan beragama Islam."Sebab itu saya katakan mekanisme itu penting," katanya.
Nadi Reformis
AMK Gelang Patah
"Kerajaan yang Adil Disanjung, Kerajaan yang Zalim Dipancung "
No comments:
Post a Comment