Bekas ahli parlimen Kuantan, Datuk Fauzi Abdul Rahman yang menyertai parti itu hari ini berkata, ramai lagi pemimpin Umno Pahang akan menyertai parti itu dalam tempoh terdekat ini.
"Kami dapat meramalkan penyertaan pemimpin Umno secara beramai-ramai ke dalam PKR dan fenomena ini adalah berterusan.
"Sebenarnya tidak ada tempoh tertentu untuk mereka menyertai PKR kerana kami tidak menetapkan sebarang syarat kepada mereka," katanya kepada Malaysiakini.
Penyertaan Fauzi dalam PKR itu diumumkan oleh ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Fauzi pernah memegang jawatan setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan pada Oktober 1990 sehingga 1995, setiausaha Parlimen Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi (1995-1997) dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (1977-99).
Beliau yang juga bekas ketua Umno bahagian Kuantan, mula bertanding kerusi Parlimen Kuantan pada 1990. Pada 1995 beliau bertanding kerusi Beserah (DUN) dan menyandang kerusi tersebut sehingga 2004.
Hadir sama dalam sidang akhbar hari ini ialah dua lagi bekas pemimpin Umno yang telahpun menyertai PKR. Mereka ialah bekas ketua Umno bahagian Kota Setar, Datuk Abdul Hadi Derani dan bekas timbalan ketua Umno bahagian Mentakab, Datuk Mat Lazim Derani.
"Rakyat termasuk ahli dan pemimpin Umno marah dengan cara kerajaan melayan Anwar yang sedang menghadapi tududan liwat sekarang.
"Jangan naik kerana keburukan orang lain kerana ini bukan budaya rakyat Malaysia, sebaliknya perlu menampilkan kewibawaan diri.
"Isu liwat itu akan menjadi senjata makan tuan, rakyat akan semakin benci kepada Umno dan masuk PKR," katanya lagi.
Sementara seorang pemimpin Umno di Pahang yang dihubungi hari ini berkata, dakwaan Fauzi bahawa ramai pemimpin Umno akan menyertai PKR sukar dipercayai.
Katanya, mungkin beberapa pemimpin veteran akan berbuat demikian tetapi ia tidak menjejaskan kekuatan Umno.
"Saya tidak dengar ada pemimpin utama negeri atau bahagian akan menyertai PKR dalam masa terdekat ini.
"Jadi dakwaan Fauzi itu mungkin hanya seronok didengar tetapi belum tentu kesahihannya," katanya yang enggan namanya disiarkan.
No comments:
Post a Comment